Jumat, 17 Februari 2012

Allah Juga Pinjamkan Mereka Pada Kita | Eqbal Zack Writing Contest

As Salam semua


Dalam dunia yang maha luas ini, tak ada guna barang satu sen pun harta mahupun wang ringgit kita andai tanggungjawab sebagai anak diabaikan. Tak bermakna juga segala pangkat, ijazah mahupun apa jua sijil kejayaan tanpa diiringi doa restu dari insan bergelar ibu dan bapa. Kerana redha Allah itu bergantung pada redha mereka. Betapa sesungguhnya Allah jua memuliakan seorang insan yang bernama ibu dan bapa. 

Kedut-kedut usia memamah wajah-wajah yang menjanjikan syurga buat kita. Urat-urat besi, menghilangkan kelembutan tangan yang pernah memukul punggung kita, memiat telinga kita demi mendidik sekujur jiwa menjadi anak yang soleh dan solehah. Mata bundarnya, tawa sayunya dan air mata gembiranya tak pernah lekang bila anak-anak pulang menjenguk mereka. Mereka insan setia, juga insan mulia. Setia menanti memendam rindu buat sang anak yang sibuk menakhoda bahtera kehidupan. Pengorbanan mereka tiada tolok bandingnya. Tak sedikit pun terpacul di bibir mereka "Ayah, mahukan duit. Ibu mahukan emas dan permata!". Namun yang dititip tiap kali ciuman singgah dipipi mereka adalah, "Jaga diri baik-baik. Jangan tinggal solat dan belajarlah rajin-rajin. Kamulah harta mak dan ayah!" Mereka ketepikan segala kepentingan.Apa yang menjadi tunjang utama mereka adalah anak ini telah sempurna dijadikan seorang manusia. Ayah mengerah peluh dan tenaga siang dan malam supaya perut kecil kita ini tidak masuk angin. Ibu bersengkang mata setia menanti kita melakar huruf A,B,C, mengeja dan membaca supaya ilmu penuh didada. Kerana mereka sedar, hanya ilmu suluh kehidupan.  

Namun, disaat tua nya mereka. Mana menghilangnya kita? Dibiarkan sepi dua tubuh memendam rindu kesumat. Melarikan pilunya jauh-jauh menerawang awanan. Pulanglah wahai anak. Ibumu penuh sarat dengan rindu. Ayahmu tak tertanggung lagi ingin mendakapmu. Jangan diseksa batin mereka. Semaikanlah kasih sayang yang pernah mereka baja pada kamu satu masa dulu. Berbaktilah selagi hayat mereka masih diberi pinjam, selagi mata mereka masih belum terpejam...


298 patah perkataan


* Doakan kejayaan aku untuk entry kali ni. Kalau korang nak join sama pun boleh jugak. Hadiahnya menarik. 

PRIZE x 1
(BAHASA MELAYU)
Winner will get CASH RM100 + gift from eqbalzack.com

PRIZE x 1
(BAHASA INGGERIS)
Winner will get CASH RM100 + gift from eqbalzack.com

CONSOLATION PRIZE x 3
Winner will get CASH RM10 + gift  from eqbalzack.com


Untuk maklumat lanjut, sila layari : www.eqbalzack.com



0 komentar:

Posting Komentar


Top